Sejarah SKKW



SEJARAH SK KOTA WARISAN

Sekolah Kebangsaan Kota Warisan merupakan sebuah sekolah bantuan penuh yang
berkonsepkan ‘design and build’. Ia mula didirikan pada tahun 2002 dan mula beroperasi pada
2 Januari 2004. Pembinaan sekolah seluas hampir 6.172 ekar persegi ini adalah untuk
menampung keperluan pendidikan formal anak-anak penduduk Kota Warisan serta mutakhir
ini anak-anak dari taman-taman perumahan sekitarnya seperti Taman Bunga Raya dan Taman
Indah KLIA turut bersekolah di sini.

Guru Besar pertama sekolah ini ialah Pn. Hajah Rohaidah binti Mohd. Ali. Beliau telah
menerajui kepimpinan sekolah ini dari Januari 2004 sehingga Januari 2014. Manakala, mulai
Februari 2014 sehingga Disember 2016 Guru Besar SK Kota Warisan seterusnya ialah Pn.
Hajah Ana Liza binti Zainuddin. Kemudian, mulai Januari 2017 Guru Besar baru ialah Encik
Kamsani bin Sahlan. Beliau dibantu oleh Guru Penolong Kanan (GPK) Pentadbiran &
Kurikulum; Pn. Asnah binti Abd. Ghani, GPK Hal Ehwal Murid; Pn. Azura binti Tugiman, GPK
Kokurikulum; En. Rosli bin Saad, GPK Petang; Pn. Rohaiyah binti Jumin serta GPK
Pendidikan Khas; Pn. Nor Mi binti Aw. Nik. Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI)
Masalah Pembelajaran mula dibuka pada tahun 2008 manakala sesi petang mula beroperasi
pada tahun 2012 yang terdiri daripada murid-murid Tahun 2 dan 3. Tetapi mulai tahun 2017,
sesi petang terdiri daripada murid-murid Tahun 1, 2 dan 3. Manakala sesi pagi pula terdiri
daripada murid-murid Tahun 4, 5 dan 6.

Pada tahun pembukaannya iaitu tahun 2004 bilangan murid sekolah ini adalah sekitar
200 orang. Bilangannya semakin meningkat dari setahun ke setahun sehinggalah kini jumlah
murid telah mencapai lebih 1300 orang termasuk murid prasekolah. Pada tahun 2016 ini, SK
Kota Warisan mempunyai 39 buah kelas aliran perdana (Tahun 1 – 6), 4 buah kelas PPKI
masalah pembelajaran dan 4 buah kelas prasekolah.

Bilangan guru juga telah melonjak daripada 17 orang pada awal penubuhannya
sehinggalah kini berjumlah 96 orang. Demikian juga staf sokongan telah bertambah daripada 2
orang menjadi 12 orang yang terdiri daripada seorang Ketua Pembantu Tadbir, 3 orang
Pembantu Tadbir, 7 orang Pembantu Pengurusan Murid Prasekolah dan Pendidikan Khas
serta seorang Pembantu Am Pejabat.

Terdapat lima buah blok bangunan yang menempatkan bilik-bilik darjah, pejabat
pentadbiran, bilik guru, Pusat Sumber, dan bilik-bilik khas yang lengkap dengan kemudahan
asas dan keceriaan yang menyegarkan. Selain blok utama, terdapat juga bangunan-bangunan
berasingan iaitu pos pengawal, surau, prasekolah serta kantin. Sekolah juga dilengkapi
dengan padang dan gelanggang-gelanggang permainan.

Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Kota Warisan telah ditubuh dengan rasminya
pada 10 April 2004. PIBG sekolah ini telah memainkan peranan yang sangat penting lagi
berkesan dalam meningkatkan kemudahan sekolah dan kebajikan pendidikan murid-murid.
Hubungan kerjasama yang erat ini menjadi sangat manis apabila SK Kota Warisan dinobatkan
sebagai Johan dalam Pertandingan Anugerah PIBG Cemerlang Kategori Sekolah Rendah
Luar Bandar Peringkat Negeri Selangor 2012 dan diikuti sebagai Johan dalam Pertandingan
Bilik Sumber PPDa Peringkat Negeri Selangor 2013 dan Johan dalam Pertandingan Bilik
Sumber PPDa Peringkat Kebangsaan 2014.

Sekolah ini terus berkembang maju dalam bidang akademik dan kokurikulum setanding
dengan sekolah-sekolah lain yang sudah lama wujud. Keputusan UPSR walaupun turun naik
tetapi menunjukkan perkembangan yang membanggakan dan kekal berada dalam lingkungan
sekolah terbaik daerah Sepang. Sekolah seringkali dicalonkan dalam pertandingan-pertandingan
berprestij seperti Sekolah Lestari, Pertandingan 3K, Sekolah Kluster Kecemerlangan, Bilik Sumber Pendidikan Pencegahan Dadah (PPDa), Pusat Sumber Cemerlang, Surau Lima Bintang dan banyak lagi. Pihak sekolah juga sentiasa menghantar murid-murid untuk menyertai pelbagai pertandingan sukan dan koakademik serta kerap meraih kejayaan sehingga ke peringkat kebangsaan.

Dalam masa sedekad, sekolah ini telah berkembang dengan pesat dan berupaya
menempa nama dalam bidang kurikulum dan kokurikulum. Sekolah sangat memberi tumpuan
kepada kecemerlangan akademik dan sahsiah murid seiring dengan slogan ”Cemerlang
Terbilang Gemilang”.